Search This Blog

Tuesday, February 9, 2010

NILAI DAN PENGAJARAN

NILAI
(a) Keberanian.

Nilai keberanian telah digambar oleh pengarang menerusi watak-watak seperti Andayu serta rakan-rakan seperjuangannya. Keberanian mereka berjuang menentang pihak Inggeris serta konco-konconya menyerlah. Begitu juga dengan keberanian pejuang-pejuang seperti Datu Paduka Mat Salleh, Pak Cik Tidung, Pak Cik Ali, Pak Cik Jonan dan ramai lagi semasa berjuang menentang campur tangan orang-orang Inggeris.


(b) Kerjasama.

Pengarang berjaya menonjolkan nilai kerjasama menerusi novel ini. Semangat kerjasama digambarkan melalui watak pengikut-pengikut Datu Paduka Mat Salleh dalam menghadapi sesuatu kesukaran atau rintangan. Misalnya semasa bertempur, ada yang bertempur dan ada pula yang merawat mangsa yang tercedera.


(c) Kebijaksanaan.

Sesuatu tindakan atau keputusan yang dibuat memerlukan kebijaksanaan seseorang menilai kembali tindak tanduknya. Andayu merupakan gambaran tentang kebijaksanaan seorang gadis dalam menghadapi detik-detik perjuangannya. Kebijaksanaannya boleh dilihat apabila dia berjaya mendapatkan maklumat tentang penangkapan Pak Cik Tidung.


(d) Kesabaran.

Kesabaran Andayu serta rakan-rakannya semasa bersembunyi di celah-celah daun simpur berhampiran pangkalan untuk menyiasat peristiwa penangkapan Pak Cik Tidung serta pengikut-pengikutnya. Kesabaran mereka banyak membantu Datu Paduka Mat Salleh mengatur strategi seterusnya.


(e) Kesetiaan.

Semangat setiakawan negara ini merupakan satu nilai yang ingin disampaikan oleh pengarang. Menerusi watak Andayu, Halipan, Datu Paduka Mat Salleh, Pak Cik Tidung dan Haji Utih dapat kita lihat bagaimana nilai tersebut digambarkan. Misalnya, Andayu merupakan watak yang banyak membantu Datu Paduka Mat Salleh kerana semangatnya yang cintakan negara dan tidak mahu orang Inggeris menjadi tuan di daerahnya. Begitu juga dengan Haji Utih, yang bukan sahaja menyumbangkan tenaganya tetapi juga memberikan sumbangan moral dan material kepada pasukan pejuang keamanan secara sukarela.


(f) Kasih sayang.

Perasaan kasih sayang ini telah digambarkan oleh pengarang melalui beberapa watak. Perasaan kasih dan sayang seseorang bapa kepada anaknya, perasaan kasih ibu saudara kepada anak saudaranya, perasaan kasih isteri kepada suami dan perasaan kasih sayang sesama ahli masyarakat, semuanya dapat dilihat dengan jelas dalam novel ini dan digarap dengan baik serta berkesan.

PENGAJARAN
(a) Kita hendaklah bekerjasama dan bersatu padu.
(b) Kita tidak boleh menjual maruah bangsa sendiri.
(c) Kita hendaklah mempertahankan hak sendiri daripada jatuh ke pihak musuh.
(d) Kita tidak boleh terburu-buru dalam membuat sesuatu tindakan.
(e) Kita hendaklah patuh kepada arahan pemimpin.

TEKNIK PLOT

Pengarang akan menggunakan pelbagai teknik untuk menyampaikan cerita. Kepelbagaian teknik akan menghasilkan cerita yang menarik dan tidak jemu membacanya. Teknik ialah cara pengarang memaparkan / menyampaikan cerita atau peristiwa. Antara teknik yang lazim digunakan ialah imbas kembali dan imbas muka.Imbas kembali bermaksud watak mengingati semula peristiwa atau pengalaman lampau yang pernah dialami. Terdapat dua cara teknik imbas kembali yang biasa digunakan oleh pengarang iaitu : i- Watak-watak mengingati kembali (berkhayal) pengalaman masa lampau. Semasa mengingati kembali pengalaman lampau itu akan berlaku monolog, monolog dalaman atau dialog.

ii - Melalui pemerian pengarang. Pengarang menggambarkan pengalaman atau peristiwa yang pernah dialami oleh watak berkenaan. Contoh imbas kembali menggunakan teknik pemerian: Jeritan nyaring bersama-sama letusan peluru senapang menyentak Andayu kembali kepada kesedarannya.

GAYA BAHASA

(a) Bahasa Arab (contoh: takdirullah, roh, hidayah, iradat)
(b) Bahasa suku kaum atau daerah (contoh: pidak, bahar, biabas, rogon, sigup)
(c) Simpulan bahasa (contoh: air muka, iri hati)
(d) Personifikasi (contoh: peluru senapang kian rancak meluahkan
muntahnya kini)
(e) Simile (contoh: pucat bagaikan mayat)
(f) Metafora (contoh: mengukir senyuman nakal)

PLOT

Pembinaan plot
:
(a) Permulaan -

Andayu dan rakan-rakannya secara sukarela menganggotai pasukan keamanan di bawah pimpinan Paduka Mat Salleh.

(b) Konflik -

Ayah Andayu tidak suka Andayu menyertai pasukan keamanan sebaliknya dia mahu Andayu memupuk sifat-sifat kewanitaan dalam diri. Pak Cik Tidung mendesak Paduka Mat Salleh menentang pihak Inggeris secepat mungkin.

(c) Klimaks –

Pengikut Paduka Mat Salleh bertempur dengan pihak Inggeris di Pulau Gaya untuk membebaskan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya yang dipenjarakan. Pihak Inggeris bertindak balas dengan menyerang daerah Inanam. Kemudiannya pihak Inggeris menyerang pengikut-pengikut Paduka Mat Salleh di lereng Gunung Kinabalu.

(d) Peleraian-

Pihak Inggeris mengalami kekalahan ketika bertempur dengan pengikut-pengikut Paduka Mat Salleh di lereng Gunung Kinabalu. Walaupun pihak Inggeris berundur, Paduka Mat Salleh mengarahkan para pengikutnya berpindah ke kawasan yang lebih selamat untuk bersiap sedia menentang pihak Inggeris kelak.

LATAR

1. Latar Masa-

Karya ini memaparkan latar masa lalu, iaitu zaman campur tangan Inggeris di negeri Sabah. Peristiwa-peristiwa yang digambarkan hanya berlaku dalam masa beberapa hari sahaja tetapi melalui teknik imbas
kembali sama ada secara penceritaan atau ingatan watak-watak, pengarang membawa ceritanya ke satu latar masa yang terdahulu, misalnya sebelum kematian bapa Andayu.

2. Latar Tempat

Daerah Inanam, Ranau, Sungai Sugut, Mengkabung, Gunung Kinabalu, Pulau Gaya, Sandakan. - Di rumah Paduka Mat Salleh, rumah Andayu, kubu di lereng Gunung Kinabalu, kota Pulau Gaya.


3. Latar Masyarakat

Latar masyarakat dalam novel ini merujuk kepada masyarakat Bajau yang diketuai oleh Datu Paduka Mat Salleh, penghulu di daerah Inanam dan menjadi pejuang dalam menentang campur tangan Inggeris di Sabah. Masyarakat ini berpecah menjadi dua kelompok, iaitu yang menentang pihak Inggeris dan kelompok yang menjadi penyokong orang-orang Inggeris. Pengarang juga memaparkan masyarakat orang asli yang menjadi askar upahan orang-orang Inggeris semasa menentang Datu Paduka Mat Salleh serta pengikut-pengikutnya.

WATAK DAN PERWATAKAN

WATAK UTAMA (ANDAYU)


(a) Berusia 15 tahun.
(b) Anak yatim piatu.
(c) Berbadan langsing dan cantik.
(d) Taat pada perintah Tuhan.
(e) Berani dan kuat semangat.
(f) Tetap pendirian.
(g) Rajin.
(h) Anti penjajah.


WATAK SAMPINGAN (PADUKA MAT SALLEH)
(a) Penghulu di daerah Inanam.
(b) Berketurunan bangsawan.
(c) Handal dalam ilmu persilatan dan ilmu batin.
(d) Bijak mengatur strategi peperangan.


HALIPAN
(a) Anak saudara Paduka Mat Salleh.
(b) Tubuhnya tegap dan tinggi.
(c) Handal bersilat dan menggunakan senjata.
(d) Bersemangat tinggi untuk berjuang.


PAK CIK TIDUNG
(a) Bapa saudara Andayu.
(b) Peniaga garam di desa.
(c) Bengis dan panas baran.
(d) Berani.
(e) Berjaya membunuh Jones.
(f) Mati ditembak askar Inggeris.


MAK CIK MALA
(a) Emak saudara Andayu.
(b) Pembantu rumah Paduka Mat Salleh.
(c) Memelihara Andayu sejak kecil.
(d) Penyayang.
(e) Pandai bercerita.


AYAH ANDAYU
(a) Asalnya nelayan.
(b) Kemudiannya menjadi penolong pegawai pemungut cukai bagi pihak Inggeris.
(c) Penyayang.
(d) Sensitif dan mudah tersinggung.
(e) Mementingkan diri sendiri.
(f) Meninggal dunia kerana dipatuk ular senduk.


DAYANG BANDAN
Dayang Bandan ialah Puteri Bangsawan Sulu dan ibu saudara kepada Sultan Jamalul Kiram, Sultan Sulu. Dia juga merupakan isteri Datu Paduka Mat Salleh. Dia memiliki pelbagai ilmu seperti ilmu kebal, ilmu penunduk dan ilmu penggerun. Selain itu, Dayang Bandan berkebolehan menguasai orang halus dan orang bunian, malahan segala ilmu itu diturunkan pula kepada suaminya Datu Paduka Mat Salleh. Puteri bangsawan ini dipantangkan memijak tanah kerana jika dicabuli, keluarganya akan ditimpa bencana.

TEMA DAN PERSOALAN

TEMA


Tema bagi novel ini ialah perjuangan seorang gadis remaja dan rakan-rakannya dengan memberi kerjasama kepada Paduka Mat Salleh dalam perjuangan membebaskan bangsa dan tanah air daripada penjajah Inggeris.Dalam novel ini, watak utama Andayu dan beberapa orang rakannya telah berjuang membebaskan bangsa dan tanahairnya daripada cengkaman penjajah Inggeris semasa campurtangan Inggeris di negeri Sabah. Penjajah Inggeris yang bernaung di bawah pertubuhan Syarikat British Borneo Utara mula berkuasa di daerah Inanam sekitar tahun 1894 sehingga tahun 1990. Andayu menerima tentangan hebat daripada bapanya yang tidak menyokong perjuangannya itu. Walaubagaimanapun, Andayu dan rakan-rakannya telah berjaya menentang penjajah Inggeris hasil daripada semangat keberanian, kegigihan dan semangat patriotik yang padu dalam diri mereka beserta bantuan Paduka Mat Salleh dan orang-orangnya.


PERSOALAN


(a) Penindasan penjajah Inggeris terhadap penduduk tempatan.
(b) Sikap dan pendirian penduduk tempatan yang bencikan penjajah Inggeris.
(c) Penduduk tempatan yang bekerja dan menyokong orang Inggeris dianggap sebagai
pengkhianat bangsa dan golongan yang tidak cintakan tanahair.
(d) Golongan wanita dalam masyarakat Bajau terkenal dengan sifat lemah lembut,
bersopan santun dan lazimnya menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan
rumahtangga.
(e) Ibu bapa dalam masyarakat Bajau menentukan jodoh anak-anak mereka.
(f) Darjat dan keturunan menjadi pegangan utama golongan pemimpin.
(g) Tanggungjawab seorang anak ialah mentaati dan mendengar kata ibu bapa.
(h) Persoalan cinta terpendam antara dua orang remaja.

SINOPSIS:BAB 1-BAB 9

Bab 1: Tagunggu Tiban
Andayu telah terlewat bangun dan menyebabkannya lewat untuk pergi belajar bersilat di rumah Paduka Mat Salleh. Andayu teringat akan peristiwa kapal besar yang berlabuh di pangkalan sungai milik penjajah Inggeris. Andayu juga mendengar bunyi paluan gong, gendang, kulintang dan bebandil dimainkan di majlis perkahwinan rumah jiran. Andayu terkenangkan Halipan, anak sulung Paduka Mat Salleh. Dia meminati dan mengagumi pemuda itu.

Bab 2: Langgisan
Pada malam itu, di pangkalan Sungai Sugut, Halipan, Pak Cik Ali dan rakan- rakannya memerhatikan beberapa orang pengawai pemungut cukai pihak Inggeris sedang berehat sambil menikmati makan malam. Halipan mencadangkan supaya mereka menyerang pemungut cukai orang Inggeris itu tetapi Pak Cik Ali menasihati mereka supaya tidak tergopoh-gapah dalam membuat tindakan. Halipan juga turut mengagumi Andayu dan tertarik dengan kecantikan serta keberanian Andayu. Halipan dan rakan- rakannya pulang ke rumah Paduka Mat Salleh untuk memberitahu bahawa Sultan Sulu telah menyerahkan tanahnya di Sabah termasuk daerah Inanam kepada pihak Inggeris. Paduka Mat Salleh bersemuka dengan jurubahasa pihak Inggeris. Dia menentang jurubahasa itu demi mempertahankan daerah Inanam.

Bab 3: Tidung
Pak Cik Tidung meminta Paduka Mat Salleh mengusir pihak Inggeris yang memaksa penduduk kampung membayar cukai. Paduka Mat Salleh meminta mereka menuruti kehendak penjajah Inggeris kerana cara itu yang membolehkan mereka menggunakan laluan di Sungai Sugut. Andayu bergegas ke rumah Paduka Mat Salleh kerana ingin mengambil kain mogah (kain tenunan) yang dipesan Mak Cik Mala. Dia melihat perselisihan pendapat antara Pak Cik Tidung dengan Paduka Mat Salleh disebabkan oleh keengganan Paduka Mat Salleh melawan pihak Inggeris. Pak Cik Tidung bertegas mengatakan bahawa walaupun penduduk tempatan tidak memiliki senjata api tetapi mereka memiliki semangat untuk mempertahankan bangsa dan tanah air. Andayu teringat akan perasan Mak Cik Mala yang memintanya menghantar satu bundu beras bukit huma ke rumah Hj.Utih.

Bab 4: Badai Musim Kemarau
Pada waktu petang, Andayu dan rakan-rakannya Sirah, Suri dan Unong menunggang kuda menyusuri pinggiran Sungai Sugut. Mereka melihat pergaduhan antara pegawai-pegawai Inggeris dengan pedagang-pedagang. Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya menolong pedagang itu, malangnya mereka pula ditangkap oleh penjajah Inggeris. Andayu telah meminta rakan-rakannya supaya memberitahu peristiwa itu kepada Paduka Mat Salleh sementara dia mengekori pihak penjajah Inggeris untuk mengetahui tempat mereka membawa Pak Cik Tidung. Sirah, Suri dan Unong menceritakan semula apa yang berlaku kepada Paduka Mat Salleh. Halipan terkejut dengan tindakan berani Andayu itu. Suasana menjadi gempar di rumah Paduka Mat Salleh kerana semua orang bimbang akan keselamatan Andayu dan Pak Cik Tidung. Penduduk kampung meminta Paduka Mat Salleh bertindak segera untuk menyelamatkan nyawa Pak Cik Tidung dan Andayu.

Bab 5: Rogon
Andayu berjaya mengekori pihak penjajah yang menawan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya di kota yang terletak di persisir pantai Pulau Gaya. Andayu telah melihat Pak Cik Tidung diseksa oleh tuan besar orang Inggeris dan pemungut cukai yang telah menawannya. Andayu bergegas pulang ke Inanam untuk memberitahu Paduka Mat Salleh mengenai keadaan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya. Dalam perjalanan pulang, Andayu teringatkan hasrat bapanya yang inginkan dirinya menjadi seorang wanita yang bersopan santun dan bukannya menjadi seorang pejuang bangsa. Hj. Utih berpesan kepada Andayu bahawa perjuangan mereka memerlukan pengorbanan, semangat kental dan tidak mudah putus asa demi menyelamatkan bangsa dan tanah air.

Bab 6: Pembebasan
Andayu menceritakan pengalaman yang dialaminya kepada Paduka Mat Salleh terutama mengenai kawalan rapi di sekitar kota. Askar-askar Inggeris dilengkapi senjata api seperti senapang dan di sekeliling kota itu dipenuhi dengan beberapa pucuk meriam. Paduka Mat Salleh mengarahkan orang-orangnya menyelamatkan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya di kota yang terletak di Pulau Gaya. Tercetuslah peperangan di antara pasukan Paduka Mat Salleh dan penjajah Inggeris. Ramai orang-orang Paduka Mat Salleh yang cedera dan Andayu turut memberi rawatan kepada mereka. Andayu teringatkan arwah bapanya yang menerima jawatan pembantu pemungut cukai dan tidak mahu menentang penjajah Inggeris.

Bab 7: Pecah perang
Orang-orang Paduka Mat Salleh berjaya menyelamatkan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya daripada mati ditembak oleh penjajah Inggeris. Walaupun ramai pengikut- pengikut Paduka Mat Salleh yang cedera dan terkorban, mereka berjaya mengalahkan pihak Inggeris. Paduka Mat Salleh mengarahkan Andayu pulang ke Inanam dengan harapan agar Andayu dapat merawat pejuang-pejuang muda yang tercedera. Paduka Mat Salleh mengarahkan Pak Cik Ali dan Pak Cik Jonan menjaga keselamatan pengikut-pengikutnya di Inanam dan Mengkabung kerana beliau khuatir penjajah Inggeris akan membalas serangan. Andayu terkenangan bapanya yang memintanya berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya dan meninggalkan dunia perjuangan itu.

Bab 8: Matai kelilahan nah
Lebih kurang 100 meter dari pangkalan Sungai Sugut, Pak Cik Ali, Pak Cik Jonan dan Andayu telah melihat keadaan huru-hara yang berlaku di kampung mereka. Penduduk kampung telah diserang penjajah Inggeris. Ramai kaum perempuan dan kanak-kanak dibunuh. Banyak rumah dibakar dan harta benda musnah dalam serangan itu. Andayu berasa lega apabila mendapat tahu Mak Cik Mala terselamat. Orang-orang kampung sedang berkumpul di rumah Dayang Bandan untuk bertolak ke Teluk Merudu. Andayu teringatkan ayahnya yang kecewa kerana dia menolak permintaan ayahnya yang ingin menjodohkan dengan ketua pemungut cukai yang bekerja dengan penjajah Inggeris yang dianggapnya ‘anjing’ orang Inggeris. Andayu berasa amat kesal atas keterlanjurannya hingga menyebabkan bapanya merajuk dan mati dipatuk ular senduk.

Bab 9: Hurul kan kunisa
Orang-orang kampung Andayu menyelamatkan diri daripada diserang pihak penjajah Inggeris dan bersembunyi di lereng Gunung Kinabalu, daerah Ranau, Sabah. Paduka Mat Salleh mengatur strategi untuk mengawal kubu mereka daripada diserang penjajah Inggeris. Malangnya, kubu mereka telah diserang pada waktu subuh dan berlaku pertempuran yang dahsyat. Ramai pejuang Paduka Mat Salleh terkorban termasuk Pak Cik Tidung manakala Unong cedera ditembak. Pasukan mereka menang dalam pertempuran itu dan pihak Inggeris terpaksa berundur. Paduka Mat Salleh meminta anak buahnya supaya berundur kerana kubu mereka tidak selamat lagi dan bila-bila masa sahaja prang Inggeris akan menyerang semula. Semasa perjalanan menuju ke tempat selamat melalui jalan sulit di belakang kubumereka, Andayu dan Halipan saling berharap agar suatu masa nanti, mereka akan kembali berjuang dan dapat hidup bersama-sama.

Monday, February 8, 2010

biodata

Azmah Nordin dilahirkan di Kulim, Kedah pada 10 Januari 1958. Beliau menerima pendidikan rendah dan menengah dalam aliran Melayu dan Inggeris. Beliau ke Sabah pada tahun 1973 dan seterusnya menetap di sana sehingga kini.Kini sudah bekahwin dan mempunyai dua orang anak.Beliau mula berjinak dengan dunia penulisan pada awal 1980-an, iaitu dalam penulisan rencana. Kecenderungannya menulis dalam bidang sastera bermula pada awal tahun 1986. Beliau meminati penulisan sajak, cerpen dan novel.Azmah sangat aktif menghasilkan karya. Setakat ini,beliau telah berjaya dihasilkan 53 buah buku.Berikut adalah senarai buku yang telah berjaya dihasilkan.
TAHUN 1987 HINGGA KINI BUKU YANG HIHASIL
1. Si Bidul
2. Noor Ainku Sayang
3 Dukanya Abadi
4. Setulus Sarina
5. Kembara Planet
6. Timulak Kapal Perang
7. Sewangi Hati Irani
8. Permata Biru
9. Gadis Pinggiran
10. Pejuang Bawah Bayu
11. Kukui
12. Jauh Tidak Berantara
13. Dilambai Debur Cinta)
14. Tanaut 15. Janji
16. Biar Kasihmu Terukir
17. Ribut di Gua Gomantong
18. Melatiku Sayang
19. Debur Menerpa
20. Sembilu Kasih
21. Si Tarra
22. Dari Dalam Cermin
23. Siti Ariana
24. Fatin
25. Dibawah Unggulnya
26. Ima Puteri Air
27. Puteri Khairuni
28. Pantai Kasih
29. Tanaut
30. Singkowoton
31. Puteri Harapan
32. Impian Akuatik
33. Kewujudan Maya
34. Halusinasi
35. Misteri Aini
36. Menongkah Lumrah
37. Puteri Indrasariayu
38. Awang Kirana Mudir Besar
39. Antara yang Terhebat
40. Puteri Angin
41. Singgahmata
42. Merentas Selat
43. Wizurai
44. Syumul
45. Dedikasi di Planet Marikh
46. Pesanan untuk Ira. Kasih Seputih Kemboja
47. Mega Nisaa
48. Titian Gelora
49. Antologi Cerpen Bersama

Berikut adalah anugerah yang telah dapat dikecapi oleh beliau dalam penghasilan karya beliau:

1988-2009
1. Kukui; Hadiah Menulis Novel DBP (s)
2. Noor Ainku Sayang; Hadiah Menulis Novel Kanak-kanak.
3. Timulak Kapal Perang; Hadiah Persatuan Sejarah Malaysia, Cawangan Wilayah Persekutuan & GAPENA (1988)
4. Wizurai; Hadiah Puisi dan Cerpen DBKL-DBP (1990)
5. Mikrotome; Hadiah Cerpen Malayan Banking-DBP (1991)
6. Hadiah Novel Remaja Berunsur Islam ( ‘Di Bawah Unggul Nya’ ) 1992) Ketua Pengarah, Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) Jabatan Perdana Menteri Malaysia.Tempat Kedua.
7. Hadiah Sastera Malaysia DBP 1992/93 pada 17 September 1994 ( Novel ‘Dari Dalam Cermin’ ) Novel ini terpilih untuk memenangi tiga anugerah :
7.1 Peraduan menulis novel DBP Cawangan Sabah /Jabatan Ketua Menteri
7.2 Hadiah Sastera Sabah
7.3 Hadiah Sastera Malaysia 1993.
8. Hadiah Cerpen ESSO/Gapena Sayembara VIII ( ‘Kuntum Perdamaian’ DBP 17 October 1991)
9. Hadiah Khas Novel ESSO/GAPENA, 24 October 1994
10. Hadiah Sastera Sabah DBP, Cerpen/Novel Dewasa : 1988,1989 (Novel ‘Dukanya Abadi’ , Cerpen ‘Singkowoton’), 1992,1993,1994,1995 ,1996 dan1997
11. Hadiah sastera Sabah DBP 1998/1999 ( Novel ‘Syumul’)
12. Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP 1996/1997 ( Novel ‘Menongkah Lumrah’)
13. Hadiah Sastera Perdana Malaysia DBP 1996/1997 ( Cerpen ‘ Permainan Kematian’ )
14. Hadiah Sastera Malaysia 1988/89 DBP (Cerpen)
15. Hadiah Malayan Banking Berhad dan DBP. Hadiah Pertama (kategori B) pada 17 Disember . 1991 di Menara MAYBANK, Kuala Lumpur.
16. Hadiah, anugerah Sastera Kanak-kanak Mobil.Mabopa 1995 (saguhati)
17. Hadiah Sastera Sabah 1998/1999, bidang Novel dewasa dan Cerpen DBP)
18. Hadiah Sastera Malaysia (1992/1993)
19. Hadiah Sastera Kerajaan Negeri Sabah & DBP Cawangan Sabah 2002/2003 Cerpen
20. Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001 ( DBP ‘ Kasih Seputih Kemboja’ )
21. Hadiah Karya Sulung Sempena Perayaan 25 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah Pada 18 Jun 2002 di Dewan Besar, DBP Cawangan Sabah.
22. Hadiah Sastera Sabah untuk cerpen `Rahsia' (2005)
23. Anugerah S.E.A Write Awards 2009