Search This Blog

Tuesday, February 9, 2010

NILAI DAN PENGAJARAN

NILAI
(a) Keberanian.

Nilai keberanian telah digambar oleh pengarang menerusi watak-watak seperti Andayu serta rakan-rakan seperjuangannya. Keberanian mereka berjuang menentang pihak Inggeris serta konco-konconya menyerlah. Begitu juga dengan keberanian pejuang-pejuang seperti Datu Paduka Mat Salleh, Pak Cik Tidung, Pak Cik Ali, Pak Cik Jonan dan ramai lagi semasa berjuang menentang campur tangan orang-orang Inggeris.


(b) Kerjasama.

Pengarang berjaya menonjolkan nilai kerjasama menerusi novel ini. Semangat kerjasama digambarkan melalui watak pengikut-pengikut Datu Paduka Mat Salleh dalam menghadapi sesuatu kesukaran atau rintangan. Misalnya semasa bertempur, ada yang bertempur dan ada pula yang merawat mangsa yang tercedera.


(c) Kebijaksanaan.

Sesuatu tindakan atau keputusan yang dibuat memerlukan kebijaksanaan seseorang menilai kembali tindak tanduknya. Andayu merupakan gambaran tentang kebijaksanaan seorang gadis dalam menghadapi detik-detik perjuangannya. Kebijaksanaannya boleh dilihat apabila dia berjaya mendapatkan maklumat tentang penangkapan Pak Cik Tidung.


(d) Kesabaran.

Kesabaran Andayu serta rakan-rakannya semasa bersembunyi di celah-celah daun simpur berhampiran pangkalan untuk menyiasat peristiwa penangkapan Pak Cik Tidung serta pengikut-pengikutnya. Kesabaran mereka banyak membantu Datu Paduka Mat Salleh mengatur strategi seterusnya.


(e) Kesetiaan.

Semangat setiakawan negara ini merupakan satu nilai yang ingin disampaikan oleh pengarang. Menerusi watak Andayu, Halipan, Datu Paduka Mat Salleh, Pak Cik Tidung dan Haji Utih dapat kita lihat bagaimana nilai tersebut digambarkan. Misalnya, Andayu merupakan watak yang banyak membantu Datu Paduka Mat Salleh kerana semangatnya yang cintakan negara dan tidak mahu orang Inggeris menjadi tuan di daerahnya. Begitu juga dengan Haji Utih, yang bukan sahaja menyumbangkan tenaganya tetapi juga memberikan sumbangan moral dan material kepada pasukan pejuang keamanan secara sukarela.


(f) Kasih sayang.

Perasaan kasih sayang ini telah digambarkan oleh pengarang melalui beberapa watak. Perasaan kasih dan sayang seseorang bapa kepada anaknya, perasaan kasih ibu saudara kepada anak saudaranya, perasaan kasih isteri kepada suami dan perasaan kasih sayang sesama ahli masyarakat, semuanya dapat dilihat dengan jelas dalam novel ini dan digarap dengan baik serta berkesan.

PENGAJARAN
(a) Kita hendaklah bekerjasama dan bersatu padu.
(b) Kita tidak boleh menjual maruah bangsa sendiri.
(c) Kita hendaklah mempertahankan hak sendiri daripada jatuh ke pihak musuh.
(d) Kita tidak boleh terburu-buru dalam membuat sesuatu tindakan.
(e) Kita hendaklah patuh kepada arahan pemimpin.

No comments:

Post a Comment