Search This Blog

Tuesday, February 9, 2010

SINOPSIS:BAB 1-BAB 9

Bab 1: Tagunggu Tiban
Andayu telah terlewat bangun dan menyebabkannya lewat untuk pergi belajar bersilat di rumah Paduka Mat Salleh. Andayu teringat akan peristiwa kapal besar yang berlabuh di pangkalan sungai milik penjajah Inggeris. Andayu juga mendengar bunyi paluan gong, gendang, kulintang dan bebandil dimainkan di majlis perkahwinan rumah jiran. Andayu terkenangkan Halipan, anak sulung Paduka Mat Salleh. Dia meminati dan mengagumi pemuda itu.

Bab 2: Langgisan
Pada malam itu, di pangkalan Sungai Sugut, Halipan, Pak Cik Ali dan rakan- rakannya memerhatikan beberapa orang pengawai pemungut cukai pihak Inggeris sedang berehat sambil menikmati makan malam. Halipan mencadangkan supaya mereka menyerang pemungut cukai orang Inggeris itu tetapi Pak Cik Ali menasihati mereka supaya tidak tergopoh-gapah dalam membuat tindakan. Halipan juga turut mengagumi Andayu dan tertarik dengan kecantikan serta keberanian Andayu. Halipan dan rakan- rakannya pulang ke rumah Paduka Mat Salleh untuk memberitahu bahawa Sultan Sulu telah menyerahkan tanahnya di Sabah termasuk daerah Inanam kepada pihak Inggeris. Paduka Mat Salleh bersemuka dengan jurubahasa pihak Inggeris. Dia menentang jurubahasa itu demi mempertahankan daerah Inanam.

Bab 3: Tidung
Pak Cik Tidung meminta Paduka Mat Salleh mengusir pihak Inggeris yang memaksa penduduk kampung membayar cukai. Paduka Mat Salleh meminta mereka menuruti kehendak penjajah Inggeris kerana cara itu yang membolehkan mereka menggunakan laluan di Sungai Sugut. Andayu bergegas ke rumah Paduka Mat Salleh kerana ingin mengambil kain mogah (kain tenunan) yang dipesan Mak Cik Mala. Dia melihat perselisihan pendapat antara Pak Cik Tidung dengan Paduka Mat Salleh disebabkan oleh keengganan Paduka Mat Salleh melawan pihak Inggeris. Pak Cik Tidung bertegas mengatakan bahawa walaupun penduduk tempatan tidak memiliki senjata api tetapi mereka memiliki semangat untuk mempertahankan bangsa dan tanah air. Andayu teringat akan perasan Mak Cik Mala yang memintanya menghantar satu bundu beras bukit huma ke rumah Hj.Utih.

Bab 4: Badai Musim Kemarau
Pada waktu petang, Andayu dan rakan-rakannya Sirah, Suri dan Unong menunggang kuda menyusuri pinggiran Sungai Sugut. Mereka melihat pergaduhan antara pegawai-pegawai Inggeris dengan pedagang-pedagang. Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya menolong pedagang itu, malangnya mereka pula ditangkap oleh penjajah Inggeris. Andayu telah meminta rakan-rakannya supaya memberitahu peristiwa itu kepada Paduka Mat Salleh sementara dia mengekori pihak penjajah Inggeris untuk mengetahui tempat mereka membawa Pak Cik Tidung. Sirah, Suri dan Unong menceritakan semula apa yang berlaku kepada Paduka Mat Salleh. Halipan terkejut dengan tindakan berani Andayu itu. Suasana menjadi gempar di rumah Paduka Mat Salleh kerana semua orang bimbang akan keselamatan Andayu dan Pak Cik Tidung. Penduduk kampung meminta Paduka Mat Salleh bertindak segera untuk menyelamatkan nyawa Pak Cik Tidung dan Andayu.

Bab 5: Rogon
Andayu berjaya mengekori pihak penjajah yang menawan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya di kota yang terletak di persisir pantai Pulau Gaya. Andayu telah melihat Pak Cik Tidung diseksa oleh tuan besar orang Inggeris dan pemungut cukai yang telah menawannya. Andayu bergegas pulang ke Inanam untuk memberitahu Paduka Mat Salleh mengenai keadaan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya. Dalam perjalanan pulang, Andayu teringatkan hasrat bapanya yang inginkan dirinya menjadi seorang wanita yang bersopan santun dan bukannya menjadi seorang pejuang bangsa. Hj. Utih berpesan kepada Andayu bahawa perjuangan mereka memerlukan pengorbanan, semangat kental dan tidak mudah putus asa demi menyelamatkan bangsa dan tanah air.

Bab 6: Pembebasan
Andayu menceritakan pengalaman yang dialaminya kepada Paduka Mat Salleh terutama mengenai kawalan rapi di sekitar kota. Askar-askar Inggeris dilengkapi senjata api seperti senapang dan di sekeliling kota itu dipenuhi dengan beberapa pucuk meriam. Paduka Mat Salleh mengarahkan orang-orangnya menyelamatkan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya di kota yang terletak di Pulau Gaya. Tercetuslah peperangan di antara pasukan Paduka Mat Salleh dan penjajah Inggeris. Ramai orang-orang Paduka Mat Salleh yang cedera dan Andayu turut memberi rawatan kepada mereka. Andayu teringatkan arwah bapanya yang menerima jawatan pembantu pemungut cukai dan tidak mahu menentang penjajah Inggeris.

Bab 7: Pecah perang
Orang-orang Paduka Mat Salleh berjaya menyelamatkan Pak Cik Tidung dan rakan-rakannya daripada mati ditembak oleh penjajah Inggeris. Walaupun ramai pengikut- pengikut Paduka Mat Salleh yang cedera dan terkorban, mereka berjaya mengalahkan pihak Inggeris. Paduka Mat Salleh mengarahkan Andayu pulang ke Inanam dengan harapan agar Andayu dapat merawat pejuang-pejuang muda yang tercedera. Paduka Mat Salleh mengarahkan Pak Cik Ali dan Pak Cik Jonan menjaga keselamatan pengikut-pengikutnya di Inanam dan Mengkabung kerana beliau khuatir penjajah Inggeris akan membalas serangan. Andayu terkenangan bapanya yang memintanya berkahwin dengan lelaki pilihan bapanya dan meninggalkan dunia perjuangan itu.

Bab 8: Matai kelilahan nah
Lebih kurang 100 meter dari pangkalan Sungai Sugut, Pak Cik Ali, Pak Cik Jonan dan Andayu telah melihat keadaan huru-hara yang berlaku di kampung mereka. Penduduk kampung telah diserang penjajah Inggeris. Ramai kaum perempuan dan kanak-kanak dibunuh. Banyak rumah dibakar dan harta benda musnah dalam serangan itu. Andayu berasa lega apabila mendapat tahu Mak Cik Mala terselamat. Orang-orang kampung sedang berkumpul di rumah Dayang Bandan untuk bertolak ke Teluk Merudu. Andayu teringatkan ayahnya yang kecewa kerana dia menolak permintaan ayahnya yang ingin menjodohkan dengan ketua pemungut cukai yang bekerja dengan penjajah Inggeris yang dianggapnya ‘anjing’ orang Inggeris. Andayu berasa amat kesal atas keterlanjurannya hingga menyebabkan bapanya merajuk dan mati dipatuk ular senduk.

Bab 9: Hurul kan kunisa
Orang-orang kampung Andayu menyelamatkan diri daripada diserang pihak penjajah Inggeris dan bersembunyi di lereng Gunung Kinabalu, daerah Ranau, Sabah. Paduka Mat Salleh mengatur strategi untuk mengawal kubu mereka daripada diserang penjajah Inggeris. Malangnya, kubu mereka telah diserang pada waktu subuh dan berlaku pertempuran yang dahsyat. Ramai pejuang Paduka Mat Salleh terkorban termasuk Pak Cik Tidung manakala Unong cedera ditembak. Pasukan mereka menang dalam pertempuran itu dan pihak Inggeris terpaksa berundur. Paduka Mat Salleh meminta anak buahnya supaya berundur kerana kubu mereka tidak selamat lagi dan bila-bila masa sahaja prang Inggeris akan menyerang semula. Semasa perjalanan menuju ke tempat selamat melalui jalan sulit di belakang kubumereka, Andayu dan Halipan saling berharap agar suatu masa nanti, mereka akan kembali berjuang dan dapat hidup bersama-sama.

No comments:

Post a Comment